Apakah ibadah dalam Islam....
>> Wednesday, September 2, 2009
KONSEP IBADAH DALAM ISLAM
PENGERTIAN IBADAH
Abu Al-Ala Al-Maududi telah mentakrifkan ibadah daripada segi bahasa dan istilah di dalam bukunya, Asas-asas Islam seperti berikut:
> Bahasa:Merendah diri, tunduk, patuh dan taat.
> Istilah :Taat, tunduk, patuh dan merendah diri kepada Allah
S.W.T.
Jelasnya, ibadah ialah pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah S.W.T.
"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya".
(Surah al-Baqarah:172)
HUBUNGAN AQIDAH DAN IBADAH
Apabila seseorang itu telah mempunyai aqidah yang kukuh maka:
Hidupnya hanyalah untuk beribadah kepada Allah sebagaimana firman Allah:
"Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu".
(Surah az-Zariyat:56)
Perintah dalam ayat ini adalah perintah untuk beribadat kepada Allah semata-mata, menghambakan diri dengan sepenuhnya kepada Allah dan hikmah diciptakan jin dan manusia.
Menolak segala kepatuhan dan ketaatan yang selain dari ketaatan kepada Allah.Firman Allah:
"Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan): Sembahlah Allah dan jauhilah thoghut".
(Surah al-Nahl:36)
Thoghut ialah semua yang disembah atau yang dipatuhi selain Allah S.W.T.
Membina kehidupan di dunia menurut peraturan-peraturan Allah
RUANG LINGKUP IBADAH DALAM ISLAM
Islam amat istimewa hingga menjadikan seluruh kegiatan manusia sebagai ibadah apabila diniatkan dengan penuh ikhlas kerana Allah demi mencapai keredhaanNya serta dikerjakan menurut cara-cara yang disyariatkan olehNya.
Selain itu, Islam tidak membataskan ruang lingkup ibadah kepada sudut-sudut tertentu sahaja. Seluruh kehidupan manusia adalah
"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu)lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)".
(Surah al-Mulk:2)
Oleh itu, ruang lingkup ibadah dalam Islam sangat luas. Ia adalah seluas tempoh hayat seseorang Muslim dan kesanggupan serta kekuatannya untuk melakukan apa saja amal yang diredhai oleh Allah dalam tempoh tersebut.
PEMBAHAGIAN IBADAH
Ibadah terbahagi kepada dua iaitu khusus dan umum:
Ibadah khusus
Merupakan perintah-perintah yang wajib dilakukan sebagaimana yang terkandung di dalam Rukun Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan beberapa amalan khusus seperti tilawah al-Quran, zikir dan seumpamanya.
"Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang".
(Riwayat Bukhari)
Ibadah umum
Segala perkara atau amalan selain daripada kumpulan ibadah khusus di atas yang dilakukan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah S.W.T. Hal ini termasuklah seluruh perbuatan manusia dalam kehidupan sehariannya.
SYARAT AMAL UNTUK MENDAPAT STATUS IBADAH
Yusuf Al-Qardhawi di dalam bukunya Ibadah Dalam Islam telah memberikan syarat-syarat supaya sesuatu itu mendapat status ibadah:
Amalan-amalan yang dikerjakan itu mestilah bersesuaian dengan hukum Islam dan tidak bercanggah dengan hukum tersebut.
Amalan tersebut dilakukan dengan niat yang baik atau kerana Allah.
Amalan tersebut mestilah dilakukan dengan seelok-eloknya bagi menepati sabda Rasulullah:
"Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya".
(Riwayat Muslim)
Ketika membuat amalan tersebut, hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syara dan ketentuan batasnya, tidak menzalimi orang lain, tidak khianat, tidak menipu, tidak menindas orang lain dan merampas hak-hak orang.
Tidak mencuaikan ibadah-ibadah khusus seperti solat, zakat, dan sebagainya dengan melaksanakan ibadah-ibadah umum.
SALAH FAHAM TERHADAP PENGERTIAN IBADAH
Ibadah dalam Islam adalah berlainan sama sekali dengan konsep dan amalan agama-agama lain atau kepercayaan-kepercayaan lain. Ianya bukan perbuatan mengasingkan diri, ianya juga tidak terbatas kepada tempat-tempat tertentu sahaja atau hanya dilakukan melalui perantaraan orang-orang tertentu.
Konsep-konsep seperti ini tidak wujud di dalam syariat Islam. Namun demikian pengaruh konsep asing ini telah juga dapat meresap ke dalam kehidupan sebahagian besar daripada masyarakat Islam. Oleh itu, timbullah pelbagai tanggapan terhadap ibadah.
0 comments:
Post a Comment