Solat fardhu..sempurna atau tidak?
>> Tuesday, September 15, 2009
Solat dari segi bahasa ialah doa manakala dari sudut istilah ialah beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam. Hukum menunaikan solat ialah wajib ke atas setiap umat Islam sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Peliharalah semua solatmu dan peliharalah solat wusthaa. Berdirilah untuk Allah
(dalam solatmu) dengan khusyuk".
(Surah al-Baqarah: 238)
Syarat-syarat wajib solat ada lima perkara, iaitu Islam, baligh, berakal, suci daripada haid dan nifas dan boleh melihat dan mendengar. Syarat-syarat sah sembahyang pula ialah suci daripada hadas kecil dan besar, suci badan, pakaian dan tempat, menutup aurat, menghadap kiblat dan yakin masuk waktu. Rukun-rukunnya ada tiga belas perkara, iaitu :
- Niat.
- Takbiratul ihram.
- Berdiri tegak.
- Membaca al-Fatihah.
- Rukuk beserta thama'ninah.
- I'tidal beserta thama'ninah.
- Sujud beserta thama'ninah.
- Duduk antara dua sujud beserta thama'ninah.
- Duduk ketika membaca tahiyat akhir.
- Membaca tahiyat akhir.
- Membaca selawat ke atas Nabi s.a.w.
- Mengucapkan salam yang pertama.
- Tertib.
Sunat hai'at ialah perkara yang dituntut. Jika tertinggal, tidak membatalkan solat dan tidak perlu bersujud sahwi. Misalnya mengngkat tangan ketika takbiratul ihram, membaca doa iftitah, diam sebentar sebelum dan selepas al-Fatihah, membaca amin selepas membaca al-Fatihah dan berpaling ke kanan ketika salam yang pertama dan ke kiri ketika salam yang kedua.
Meninggalkan salah satu daripada rukun solat, berkata-kata, berhadas kecil atau besar, ketawa, berubah niat, terkena najis pada badan dan pakaian, terbuka aurat dengan sengaja, makan dan minum, murtad dan berpaling dada dari arah kiblat merupakan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang.
Solat mempunyai hikmah dan kelebihan yang begitu banyak. Antaranya dapat mendekatkan diri kepada Allah S.W.T, mengelakkan diri daripada perbuatan maksiat dan mungkar, memberi ketenangan jiwa, menyihatkan jasmani dan menyucikan rohani dan melatih diri kita hidup dengan berdisiplin. Solat juga dapat melahirkan masyarakat Islam yang berakhlak mulia, mengertakan silatulrahim sesama Muslim dan ajaran Islam dapat diamalkan dengan baik dalam komuniti masyarakat.



0 comments:
Post a Comment