I made this widget at MyFlashFetish.com.

Soal Jawab Agama....

>> Thursday, October 8, 2009

Soalan 1: Adakah niat puasa sunat enam hari bulan Syawal boleh disekalikan dengan puasa qadha'?

Jawapan 1: Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qadha'. Imam Syafi'i melalui kitabnya, al-Umm, berpendapat dalam menerangkan bab 'setiap amalan dengan niatnya' bahawa: Hendaklah dibezakan ibadat puasa Ramadhan, puasa nazar, puasa kaffarah, puasa qadha' dan puasa sunat. Imam Jalaluddin as-Suyuthi menerusi kitab beliau, al-Isybah juga berpandangan hendaklah diasingkan puasa Ramadhan atau nazar atau sunat. Namun, seseorang yang berniat puasa qadha' di dalam bulan Syawal boleh juga dikurniakan pahala puasa enam tanpa menggugurkan niat tersebut mengikut pendapat sebahagian ulama'.




Soalan 2: Adakah kita perlu membayar puasa qadha' setelah kita mengerjakan puasa enam Syawal?

Jawapan 2: Para fuqaha' daripada mazhab Hanafi, Syafi'i dan Hanbali mengatakan puasa enam hari pada bulan Syawal adalah sunat hukumnya. Para muhaddithin kecuali Bukhari meriwayatkan daripada an-Nasai daripada Abu Abu Ayyub al-Anshari bahawa nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diiringinya dengan berpuasa enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun penuh". Jadi, puasa enam pada bulan Syawal ini merupakan puasa sunat sahaja.

Mengqadha' puasa adalah kewajipan kita mengantikan puasa yang tertinggal pada bulan Ramadhan kerana sebab-sebab tertentu. Sebahagian ulama' mengatakan kita perlu mengganti puasa wajib yang kita tertinggal itu barulah kita mengerjakan puasa sunat yang lainnya. Jadi, antara puasa qadha' dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, perlulah dipisahkan antara fardhu (wajib) dan sunat. Kerjakanlah puasa qadha' dahulu barulah kerjakan yang sunat kerana itulah yang lebih afdal.

Soalan 3: Haji mabrur merupakan harapan bagi semua jemaah haji terutama mereka yang mungkin dapat mengerjakannya sekali dalam hidup. Namun, apa yang saya dengari untuk mencapainya amat sukar malahan jika kita lihat senario sekarang mungkin beberapa kerat sahaja yang betul-betul diterima. Adakah para jemaah haji kita ketika ini berupaya memperolehinya?

Jawapan 3: Masalah diterima atau ditolaknya amalan seseorang itu adalah hak Allah S.W.T, sebagai hamba yang beriman dab bertaqwa kepadaNya hendaklah dalam beribadat itu disertai dengan rukun dan syarat yang betul dan sempurna. Dalam mengerjakan ibadat haji sama juga dengan menunaikan ibadat-ibadat yang lain seperti solat, puasa dan sebagainya. Jika dikerjakan tidak disertai dengan adab, rukun dan syarat yang betul, maka nilai, fadhilat dan keutamaan daripada ibadat tersebut akan hilang.

Meskipun ibadat haji kita sah kerana telah tertunai rukun, syarat wajib dan sebagainya, namun dari segi keutamaan haji yang mabrur itu tidak semua orang mendapatnya. Itulah sebabnya dalam mengerjakan ibadat tidak kira apapun ibadat atau kefardhuan yang diwajibkan hendaklah disertai dengan hati yang ikhlas mengharap keredhaan dan keampunan Allah S.W.T, bukan kerana perkara lain.

Tidaklah menjadi kemusykilan dan kehairanan jika dari sekian juta jemaah yang menunaikan ibadat haji hanya segelintir sahaja yang memperolehi haji yang mabrur atau diterima. Sebabnya untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T itu bukan suatu yang mudah tetapi memerlukan ketabahan, kesabaran, ketaqwaan, tawaddhu', istiqamah dan hanya menyerah segala urusan kepadaNya semata-mata. Di samping itu, dalam menjalankan syariat agama hendalah dilakukan dengan hati yang ikhlas dan suka menegakkan amar ma'ruf nahi munkar.

Soalan 4: Bolehkah seseorang itu mengerjakan umrah terlebih dahulu daripada ibadat haji?

Jawapan 4: Adalah tidak menjadi kesalahan jika seseorang itu mengerjakan umrah lebih dahulu daripada ibadat haji. Sedangkan para jemaah haji yang memilih haji 'Tamattu'' semuanya menunaikan umrah dahulu kemudian diikuti dengan ibadat haji. Tetapi haji jenis ini diwajibkan membayar dam kerana mereka mengerjakan umrah dalam bulan haji kemudian mereka menunaikan haji pada bula yang sama.

Berhubung dengan keharusan mengerjakan umrah lebih dahulu adalah bersandarkan hadith Nabi s.a.w yang bermaksud:" Ibadat haji dan umrah adalah wajib kedua-duanya, tidaklah menjadi kesalahan dengan engkau memulakan mana-mana di antara kedua-duanya".

Soalan 5: Manakah yang afdal, puasa atau berbuka bagi orang musafir?

Jawapan 5: Para fuqaha' adalah berbeza pendapat dalam menentukan mana yang lebih afdal antara kedua-duanya. Menurut Abu Hanifah, Malik dan Syafi'i , lebih bagus berpuasa bagi orang yang kuat dan lebih bagus berbuka bagi orang yang tidak sanggup. Lebih bagus berpuasa bagi orang yang kuat berdasarkan firman Allah S.W.T, maksudnya:"Dan puasa itu lebih baik bagi kamu". Alasan yang mengatakan lebih bagus berbuka ialah firman Allah S.W.T, ertinya:" Allah menginginkan kemudahan kepada kamu dan tidak bermaksud memberatkan".

Menurut Imam Ahmad, lebih bagus berbuka kerana Allah S.W.T suka kalau rukhsahnya itu dikerjakan sebagaimana Dia juga suka apabila dikerjakan kewajipan yang diperintahkanNya. Menurut Umar bin Abdul Aziz, lebih afdal mengamalkan yang mudah. Bagi orang yang mudah menunaikannya dan susah mengqadha'kannya, bermakna dia lebih bagus berpuasa.

Al-Syaukani pula berpendapat bahawa orang yang kepayahan dan mudarat jika berpuasa, lebih bagus berpuasa baginya. Begitu juga orang yang takut berasa 'ujub dan riak apabila berpuasa pada waktu musafir, maka lebih bagus dia berbuka. Sekiranya dalam puasanya tidak dijumpai perkara-perkara seperti di atas, maka lebih bagus dia berpuasa.

0 comments:

Berbual berpekdah

 
 

Followers

About This Blog

Blog ini memuatkan perkongsian ilmu kepada semua lapisan masyarakat terutamanya kepada para pelajar sekolah rendah dan menengah yang sedang mengikuti mata pelajaran sama ada Pendidikan Islam, Pendidikan al-Quran dan as-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah atau Tasawwur Islam. Blog yang bertemakan ibadah ini amat sesuai dilawati oleh semua orang kerana ia menampilkan perkara-perkara yang menyentuh persoalan ibadah di mana ianya sentiasa mewarnai kehidupan seharian kita. Ditambah pula dengan hujah kukuh Allah S.W.T atau objektif utama penciptaan manusia di dalam dunia yang sementara ini, iaitu semata-mata untuk mengabdikan diri hanya kepadaNya menguatkan lagi kepentingan ibadah kepada kita sebagai para hambaNya..

Saf kekawan

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP