I made this widget at MyFlashFetish.com.

Zikir dan Doa Asas Jati Diri Individu Muslim

>> Tuesday, November 17, 2009

Segala puji tertentu bagi Allah yang sentiasa kita memujiNya. Kita memohon pertolongan, hidayah dan keampunan daripadaNya. Kita memohon perlindungan dengan Allah daripada keburukan diri kita dan kejahatan perbuatan kita. Sesungguhnya sesiapa yang diberi hidayah, maka dialah orang yang mendapat pentunjuk. Sesiapa yang sesat, maka tiada siapa yang dapat memimpin dan membimbingnya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah. Dialah yang satu dan tiada sekutu baginya. Aku juga bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusanNya.

Di dalam al-Quran, Allah SWT telah menegaskan bahawa orang-orang yang berakal, orang-orang yang mempunyai fikiran atau 'man of understanding, man of wisdom' (Ulul albab) antara lainnya ialah orang yang banyak berzikir. Firman Allah SWT:

(bermaksud): "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka!”

(Surah Ali-Imran: 190-191)

Di sebalik ungkapan zikir dan doa adalah teras aqidah Islam, penghayatannya memberi kesan langsung yang memandu kehidupan seseorang ke arah kesejahteraan. Kenikmatan hidup dan kemewahan harta-benda yang dikecapi, mestilah diiringi dengan kesyukuran kepada Allah SWT. Kisah dua pemilik kebun yang disebut di dalam al-Quran memberi pengajaran yang amat berguna kepada kita. Malapetaka telah menimpa salah seorang daripada mereka kerana dia lupa kepada Allah SWT. Kebunnya musnah lalu dia pun menyesal. Kemudian seorang lagi pemilik kebun yang beriman menasihatkan rakannya itu seperti yang difirmankan Allah SWT:

(bermaksud): “Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: “Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah, tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah!”

(Surah al-Kahfi: 39)

Tidak wajar seseorang membanding-banding kelebihan pada dirinya dengan seseorang lain lalu melupakan Allah SWT dan berasa bongkak. Hal ini sebagaimana nasihat beliau yang difirmankan Allah SWT menerusi ayat yang berikutnya:

(bermaksud): “… Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu, maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan aku lebih baik daripada kebunmu dan (aku bimbang) Dia akan menimpakannya dengan bala bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus. Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi.Oleh yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi”.

(Surah al-Kahfi: 39-40)

Zikir dan doa juga adalah cara untuk berhubung dan kembali kepada Allah SWT. Tanpanya, tiada jaminan yang selamat untuk kita. Firman Allah SWT:

(bermaksud): “Maka kalaulah dia (Nabi Yunus) bukan daripada orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur".

(Surah al-Shoffat: 143-144)

Di samping zikir dan doa, selawat adalah merupakan pelengkap. Suatu bicara menjadi sempurna jika dimulai dengan pujian kepada Allah SWT dan selawat kepada Nabi saw. Selawat juga merupakan doa dan permintaan daripada seorang hamba kepada Tuhannya. Kadangkala seseorang berdoa untuk Nabi saw dan adakalanya dia berdoa untuk dirinya sendiri. Hal ini adalah suatu keistimewaan untuk hamba Allah SWT.

Bagi mengelakkan kesulitan, pelbagai zikir, doa dan selawat yang umum sudah memadai untuk diamalkan pada sempena yang khusus. Namun, untuk menetapkan disiplin dalam ibadah, doa-doa yang khusus telah ditetapkan untuk sempena yang tertentu. Fadhilat dan khasiatnya sudah pasti dijamin dapat diperolehi mengikut niat dan tujuan orang yang konsisten dan yakin dalam beramal keranaNya.




0 comments:

Berbual berpekdah

 
 

Followers

About This Blog

Blog ini memuatkan perkongsian ilmu kepada semua lapisan masyarakat terutamanya kepada para pelajar sekolah rendah dan menengah yang sedang mengikuti mata pelajaran sama ada Pendidikan Islam, Pendidikan al-Quran dan as-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah atau Tasawwur Islam. Blog yang bertemakan ibadah ini amat sesuai dilawati oleh semua orang kerana ia menampilkan perkara-perkara yang menyentuh persoalan ibadah di mana ianya sentiasa mewarnai kehidupan seharian kita. Ditambah pula dengan hujah kukuh Allah S.W.T atau objektif utama penciptaan manusia di dalam dunia yang sementara ini, iaitu semata-mata untuk mengabdikan diri hanya kepadaNya menguatkan lagi kepentingan ibadah kepada kita sebagai para hambaNya..

Saf kekawan

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP